KUANTAN: Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pencerobohan tanah haram di negeri ini disifatkan sebagai tepat dan benar.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seperti dititahkan baginda, tiada sesiapa boleh menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas mereka.
“Kita tidak boleh menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Titah Tuanku itu memang tepat dan benar,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan negeri berjaya mengutip hasil berjumlah RM300 juta setakat April tahun ini, tanpa membebankan rakyat.
“Kita uruskan ketirisan, kebocoran dan pastikan kecekapan dalam kutipan hasil. Mana-mana tunggakan juga kita kejar supaya mereka bayar,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah haram dan kegiatan perlombongan haram kini jauh lebih tegas berbanding sebelum ini.
“Jika dahulu kes pencerobohan tanah dikenakan kompaun, kini kita terus bawa ke mahkamah. Sebagai contoh, baru-baru ini di Lipis, mahkamah telah menjatuhkan denda RM100,000 kepada setiap individu yang terlibat, berbanding kompaun RM20,000 hingga RM30,000 sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, tindakan membawa kes ke mahkamah bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat bahawa kerajaan negeri serius menangani isu penerokaan dan pencerobohan tanah secara haram serta aktiviti lain seperti perlombongan tidak sah. – UTUSAN