Terpaksa sambut lebaran di studio - Utusan Malaysia

Terpaksa sambut lebaran di studio

IZHAR Shah Hassan merakam gambar pelanggannya bersempena Aidilfitri di studio gambar miliknya di Taman Sri Wang fasa dua, Arau, Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jurugambar ‘raya’ di ne­geri ini terpaksa menyambut lebaran di studio bagi memenuhi slot atau tempahan merakamkan gambar pasangan dan keluarga bersempena Aidilfitri.

Kebanyakkan studio di negeri ini tidak ‘menang tangan’ me­nerima tempahan sejak dari awal Ramadan sehingga pertengahan Syawal untuk slot bergambar dan sehari dianggarkan antara 60 hingga 80 keluarga merakamkan gambar khususnya pada hari raya pertama lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ‘kewajipan’ keluarga atau pasangan merakamkan gambar di studio sempena sambutan Aidilfitri sudah menjadi trend.

Menariknya, kebanyakan studio ketika ini juga mengete­ngahkan pelbagai idea kreatif bagi menyediakan ruangan untuk bergambar berbanding sebelum ini hanya berlatar belakang biasa se­perti kain putih atau sebagainya.

Antaranya studio Izphoto­graphy yang terletak di Taman Sri Wang fasa dua di sini yang menerima tempahan merakamkan gambar pelanggan sehingga 80 slot sehari dari pukul 9.30 pagi sehingga 10.30 malam.

Pemilik studio, Izhar Shah Hassan, 44, berkata, tempahan mula diterima dari awal Ramadan sehingga pertengahan Sya­wal bukan sahaja daripada pelanggan di negeri ini malah keluarga dari luar Perlis yang pulang beraya di kampung halaman.

Katanya, setiap sesi bergambar sekitar 15 minit dengan bayaran dikenakan RM120.

“Bagi kami jurugambar di studio, mahu tidak mahu terpaksa beraya di studio sejak dari hari raya pertama lagi. Musim perayaan ini, pelanggan agak ramai dan boleh dikatakan semua studio di Perlis tidak ‘menang tangan’ memenuhi tempahan pe­langgan tersebut.

“Setiap tahun saya mengetengahkan pelbagai tema dengan tahun ini pula adalah tema klasik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, sejak lima ke enam tahun kebelakangan ini trend bergambar di studio seolah-olah sudah menjadi ‘kewajipan’ untuk bergambar dalam keadaan lebih sempurna sama ada membabitkan keluarga atau pasangan-pasangan.

“Jika dahulu, kebanyakan studio hanya menyediakan latar belakang biasa namun kini pelbagai idea kreatif diketengahkan untuk dekorasi ruangan bergambar yang lebih realistik sesuai dengan suasana raya

“Syukur, setiap kali raya sam­butan diterima memang sangat memberangsangkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN