RANTAU PANJANG: Seorang tekong darat ditahan bersama tiga asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh selepas kereta yang mereka naiki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di simpang tiga Kampung Kubang Kuau, di sini kelmarin.
Kesemua mereka ditahan oleh anggota Batalion 7 PGA pada pukul 10.30 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua PATI itu menunjukkan pasport yang mencurigakan.
“Seorang lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan dari. Tekong darat berusia 29 tahun itu ditahan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI.
“Pemandu (tekong darat) ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga PATI itu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN