PETALING JAYA: Jumlah doktor atau pegawai perubatan di hospital dan klinik kerajaan yang masih kurang menyebabkan tidak ramai boleh dilatih menjadi pakar bagi memenuhi keperluan pesakit di negara ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) secara lazimnya menyediakan sebanyak 1,500 tempat untuk pegawai perubatan menyambung pengajian di universiti awam bagi peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan 500 tempat melalui Program Latihan Kepakaran Laluan Paralel setiap tahun.
Bagaimanapun, 2,000 tempat itu tidak dapat diisi sepenuhnya berikutan jumlah pegawai perubatan yang tidak mencukupi di fasiliti kesihatan awam.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamaluddin Ab Rahman berkata, sektor kesihatan awam kini tidak mempunyai pegawai perubatan mencukupi kerana jumlah doktor pelatih yang berhenti.
Kata beliau, jumlah 2,000 pakar yang ingin dilahirkan setiap tahun itu juga tidak boleh memenuhi keperluan negara.
“Peruntukan daripada KKM itu ada tetapi masalahnya body (pegawai perubatan) tidak ada. Selain itu, kita juga menghadapi masalah trainer (pelatih). Kita menghadapi masalah brain drain (penghijrahan ke fasiliti kesihatan swasta).
“Antara sebab yang jelas adalah gaji di fasiliti kesihatan swasta lebih tinggi tetapi bebanan kerja lebih rendah dan suasana kerjanya berbeza termasuk beban kerja yang lebih rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, KKM dilaporkan akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat menjelang Ogos depan.
Dr. Jamaluddin berkata, walaupun tempoh untuk tamat pengajian sebagai doktor pakar adalah empat tahun tetapi realitinya hanya 50 peratus daripada keseluruhan pelajar itu dapat menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Jika ada 1,000 orang buat latihan, hanya 500 orang sahaja yang akan menamatkan pengajian akan keluar dalam tempoh empat tahun. Lagi 40 peratus orang mungkin mengambil masa sehingga lima tahun dan selebihnya pula hingga enam tahun.
“Malah, mengikut Akta Perubatan 1971 (Akta 50), mereka kerana menjalani pengalaman kerja diawasi (SWE) selama enam bulan. Tempoh itu untuk menilai sama ada individu itu boleh menjadi seorang doktor pakar ataupun tidak,” jelasnya.
Beliau berkata, jumlah sebenar doktor pakar yang diperlukan oleh sesuatu hospital tidak boleh ditentukan kerana ia bergantung kepada jumlah kes dan penduduk di kawasan setempat.
“Lagi ramai sememangnya lagi bagus jika ikut logiknya tetapi berapa ramai sepatutnya ada? Bagi saya, hospital daerah pun sepatutnya sudah mempunyai pakar perubatan,” katanya.-UTUSAN.