Raja Perlis sentiasa beri perhatian pembangunan generasi muda - Utusan Malaysia

Raja Perlis sentiasa beri perhatian pembangunan generasi muda

MOHD. JEFFRY HASSAN.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selama 25 tahun sangat dikagumi dan disanjung kerana wawasan jauh baginda memerintah negeri ini.

Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Mohd. Jeffry Hassan berkata, baginda menunjukkan teladan kepemimpinan yang amat dikagumi oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, selain itu, baginda juga sentiasa memberi perhatian besar kepada pembangunan generasi muda khususnya dalam aspek pendidikan, perpaduan dan pembinaan jati diri.

“Kepemimpinan baginda bukan sahaja dikagumi kerana ketegasan dan wawasan, malah amat disanjung kerana sifat berjiwa rakyat. Baginda sentiasa dekat di hati rakyat serta prihatin terhadap keperluan masyarakat di negeri ini.

“Warga belia khususnya amat menghargai sokongan dan dorongan baginda terhadap pelbagai usaha memperkasa warga belia khususnya di negeri ini,” katanya.

Tanggal 17 April 2025 merupakan detik cukup bersejarah bersempena sambutan Jubli Perak selama 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin.

Pelbagai program telah diatur sepanjang tahun ini bagi memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan sejak pemerintahan baginda bermula dari tahun 2000 sehingga 2025 itu.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan istiadat pertabalan Tuanku Syed Sirajuddin telah disempurnakan pada 7 Mei 2001 di Istana Arau.

Sementara itu, Mohd. Jeffry berkata, sebagai tanda sokongan dan kasih kepada baginda, golongan belia di negeri ini diseru memainkan peranan menyemarakkan sambutan Jubli Perak.

“Ia sama ada melalui penggunaan platform media sosial, berkongsi kisah dan penghargaan terhadap kepimpinan baginda serta mempromosikan program dan aktiviti berkaitan secara kreatif dan meluas.

“Sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis yang penuh bersejarah, warga belia menzahirkan ikrar untuk terus menjunjung titah dan aspirasi baginda dalam membina Perlis yang sejahtera, bersatu dan berjaya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN