PRK Ayer Kuning: Kempen secara sihat, usah guna taktik lama siar poster penyokong UMNO - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Kempen secara sihat, usah guna taktik lama siar poster penyokong UMNO

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) didakwa menggunakan taktik lama dengan menyiarkan gambar penyokong UMNO sebagai poster untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, semua pihak perlu berkempen secara sihat mengikut tatacara, tatasusila dan tata kelola.

“Biar rakyat yang menentukan sama ada kita popular atau tidak. Biar rakyat tentukan parti mana yang layak menjadi wakil mereka di Ayer Kuning. Jangan laksanakan kempen-kempen negatif.

“Ini kerana yang akan menjadi mangsa nanti adalah pengundi di situ. Sekiranya mereka memilih wakil rakyat yang tidak bersama dengan kerajaan negeri, sudah tentulah ia akan menyusahkan. Sebab itulah kita nak orang di Ayer Kuning bijak memilih, pastikan kemenangan untuk calon kita, Dr. Yusri Bakir,” katanya di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, media melaporkan calon PN didakwa menggunakan gambar pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut dilaporkan berkata, suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, beliau berharap agar jentera BN tidak selesa dengan kedudukan yang ada dan mengerahkan seluruh tenaga demi memastikan pengundi memberikan sokongan kepada parti itu.

“Saya harap kita jangan berpuas hati. Walaupun di atas kertas kita menang, tetapi itu tidak melambangkan bahawa ia akan diterjemahkan dalam undi. Pastikan ramai pengundi keluar dan kita cari seramai yang mungkin. Hadiahkan kemenangan ini untuk mempertahankan kerajaan negeri Perak dan juga kerajaan Perpaduan.

“Untuk pengundi, kita mesti bijaksana dalam memilih kerana kita dah tahu apa yang calon sebelah sana boleh buat sekiranya mereka menang. Kita boleh tengok kemajuan yang ada di negeri-negeri mereka tunjangi.

“Mereka hanya mahukan kemenangan, bukannya untuk memberikan perkhidmatan. Saya lihat di DUN Ayer Kuning ini, mereka masih memerlukan pemimpin yang berkhidmat dan juga membawa kepada pembangunan. Gunakanlah kesempatan ini untuk menterjemahkan undi dengan memilih calon BN supaya kerajaan ada perasaan sayang kepada pengundi di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN