PRK Ayer Kuning: Kekalkan konsistensi kemenangan BN di beberapa PRK – Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Kekalkan konsistensi kemenangan BN di beberapa PRK – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras bagi mengekalkan konsistensi kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, cabaran utama adalah untuk memastikan seramai mungkin pengundi keluar mengundi dan memberi mandat kepada BN bagi mengemudi DUN Ayer Kuning.

“UMNO Negeri Pahang diberikan tugas untuk membantu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampong Simpang Tiga. Ini adalah PDM yang di dalamnya mempunyai paling ramai pemilih termasuk pengundi pertama kali. Dahulu, PDM ini menang dengan 600 majoriti, maka sudah tentulah cabarannya agak besar pada PRK kali ini.

“Ini kerana pertama sekali, kita tahu bahawa ini PRK. Kedua, kita tahu bahawa para pengundi luar baharu saja pulang beraya baru-baru ini, kemudian nak balik semula untuk mengundi. Ketiga adalah untuk mencari pengundi-pengundi pertama kali.

“Ini PRK keempat untuk UMNO dan BN. Kita menang di DUN Nenggiri yang sebelum ini ditunjangi Pas. Kita kekal di Pelangai dan juga DUN Mahkota. Diharapkan semangat kemenangan siri PRK tersebut dapat kita bawa ke Ayer Kuning,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Mohd. Sharkar berkata, seluruh jentera UMNO dan BN perlu bekerja sehabis baik untuk mencapai sasaran 18,000 majoriti undi pada PRK tersebut.

“Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempunyai perkiraan sendiri sebagai ‘chief commander of Perak’. Kita perlu menghormati ekspektasi beliau dan diharapkan semua akan bekerja ke arah itu. Cari jalan, pastikan ramai pengundi balik dan ‘turn out’ bagus.

“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, hampir 82 peratus ‘turn out’ untuk DUN Ayer Kuning ini. Sebab itulah kalau dicampur 9,000 (undi BN) dan 6,000 (undi Pakatan Harapan), muncul angka 16,000. Kemudian dicampur 3,000 pengundi baharu yang kita sasarkan dapat 2,000 undi… itulah yang dikatakan majoriti 18,000.

“Kita harapkan perkiraan kita ini tepat dan dapat mencapai sasaran ‘turn out’ yang diinginkan. Kita harap supaya 18,000 itu menjadi tanda aras… maksudnya itulah antara 18 ke 20 peratus yang kita nak capai pada PRK kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat di DUN Ayer Kuning mengekalkan kemenangan BN di kawasan tersebut agar kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat dapat dijalankan sebaiknya.

“Pihak lawan akan berkempen supaya para pengundi tidak keluar pada hari pengundian dengan alasan BN ‘confirm’ menang dan sebagainya. Tapi, kita nak beritahu kepada pengundi bahawa janganlah kita terpengaruh dengan kempen tersebut.

“Kita nak supaya BN kekal di sini. Semasa Allahyarham Ishsam menjadi wakil rakyat, masyarakat di sini mendapat keselesaan yang sangat baik. Keselesaan itu akan diteruskan sekiranya BN diberikan kemenangan pada 26 April ini. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN