PPNP tentang sebarang bentuk penyelesaian dengan peneroka haram di Raub - Utusan Malaysia

PPNP tentang sebarang bentuk penyelesaian dengan peneroka haram di Raub

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri diminta bertegas dan tidak tunduk dengan rayuan ataupun sebarang bentuk penyelesaian dalam isu melibatkan kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di atas tanah kerajaan di Raub, dekat sini.

Pengerusi Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, langkah penyelesaian dibimbangi hanya akan memberi ganjaran kepada penceroboh dan menghalalkan jenayah pentadbiran tanah.

“Penceroboh tanah terbabit adalah peneroka haram yang sudah melanggar undang-undang, Akta Kanun Tanah Negara dan mereka ini dikira sebagai penjenayah. Jika diberikan ruang berbincang, kita ibarat menyokong ataupun mengiktiraf kegiatan jenayah mereka.

“Beri pajakan, ‘tapping right’, kontrak atau apa jua penyelesaian tidak sepatutnya berlaku. PPNP akan menentang sekeras-kerasnya. Peneroka haram perlu dihukum sewajarnya  berdasarkan kepada keluasan tanah yang diteroka.

“Peneroka tanah haram terbabit juga tidak boleh terlibat langsung di atas tanah diteroka mereka. Memberi ganjaran kepada penceroboh adalah bentuk normalisasi jenayah yang membuka pintu kepada lebih banyak pencerobohan pada masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, PPNP menggesa pihak berwajib melakukan siasatan dalaman bagi mengesan dalang sebenar yang membenarkan kegiatan penerokaaan tanah berlaku.

“Kita percaya tanpa kerjasama pihak dalaman, aktiviti penerokaan tanah tidak akan berlaku dan berlarutan lama sejak empat dekad lalu seperti mana titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“PPNP harap kerajaan tidak gentar melakukan siasatan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Jika ada mana-mana individu atau jabatan yang menjadi pelindung kepada peneroka haram, mesti diambil tindakan dan diuar-uarkan siapa dan jabatan mana yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, audit menyeluruh terhadap status tanah-tanah yang diceroboh dan sebarang proses pentadbiran mencurigakan juga perlu dilakukan.

Menurutnya, seperti mana titah Sultan Pahang, pentadbir tanah sepatutnya menjadi perisai negeri ini daripada sebarang pencerobohan dan salah laku, bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang, yang dihalalkan dengan alasan retorik.

“Undang-undang tidak boleh dipijak sesuka hati dan kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersendakan. Semua pihak termasuk pentadbir tanah perlun bersama-sama berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah, diperkosa dan dinodai tanpa rasa berdosa.

“PPNP juga sentiasa bersedia menjadi mata dan telinga kepada Tuanku Sultan Pahang bagi memastikan ‘episod hitam’ yang berlarutan berlaku dalam negeri ini dihentikan,” katanya.

Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan adalah suatu yang tragis dan menyakitkan apabila 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Baginda turut mengingatkan pentadbir tanah dinsemua peringkat negeri ini tidak menjadi boneka yang diperalatkan sebaliknya menjadi benteng hadapan negeri.

“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif, kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih, dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang, atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur.

“Pentadbir tanah sepatutnya menjadi perisai negeri ini, daripada sebarang pencerobohan dan salah laku, bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang, yang dihalalkan dengan alasan retorik.

“Beta tidak akan sesekali berkompromi, jika ada yang mengkhianati amanah dengan menjadi agen pencerobohan, yang terang-terangan mencabar keluhuran undang-undang negeri ini. Amanah yang diberi, jangan sekali-kali dicemari dengan pengkhianatan,” titah Sultan Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN