JOHOR BAHRU: Permohonan Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) untuk menukarkan status tanah Kampung Melayu Majidee kepada hak milik kekal bukan usaha sia-sia.
Pengerusinya, Abdul Rahim Md. Shariff berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu dengan Ketua Unit Pembangunan Tanah dan Pelupusan, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dan dimaklumkan tiada halangan untuk menukar status daripada tanah rizab Melayu pajakan 99 tahun menjadi hak milik kekal.

“Keputusan itu terletak atas kuasa dan budi bicara Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Pihak PTG juga maklumkan terdapat banyak tanah rizab Melayu yang menjadi milik kekal di negeri ini.
“Sehubungan itu, pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar Johor tentang permohonan yang dibuat pada 23 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rahim berkata, pihaknya juga akan meneruskan permohonan tersebut demi kesejahteraan ribuan penduduk di kawasan berkenaan.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menasihatkan penduduk kampung tersebut untuk membuat permohonan melanjutkan tempoh pajakan 99 tahun yang berbaki 28 tahun.
Katanya, status tanah berkenaan menyukarkan pertukaran daripada pajakan menjadi hak milik kekal dan UMNO bahagian tersebut telah memperjuangkan perkara itu beberapa kali sebelum ini. – UTUSAN