PETALING JAYA: Majoriti pemilik lot rumah teres dan flat Kampung Sungai Baru bersetuju bahawa pembangunan semula kawasan tersebut perlu dilaksanakan dengan kadar segera memandangkan sudah lebih lapan tahun mereka menunggu projek menjadi kenyataan.
Pengerusi Badan Bertindak Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Mohd. Adam Abd. Aziz berkata, kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani amat tepat bahawa projek tidak boleh diundurkan lagi.
Katanya, ia adalah disebabkan projek tersebut sudah diwartakan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 yang dikeluarkan pada 18 Jun pada 21 Jun 2021.
“Penangguhan yang berlaku sekarang disebabkan beberapa perkara antaranya perintah pembangunan (DO) yang dikeluarkan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk merobohkan flat di kawasan tersebut dengan bersyarat.
“Syarat yang diberikan adalah pemaju harus memastikan setiap unit rumah di flat tersebut sudah kosong barulah proses meroboh boleh dilaksanakan tetapi apa yang berlaku kini ada beberapa pemilik yang tidak berpuas hati mendakwa masih menetap di situ.
“Mereka ini meninggalkan barangan di rumah tersebut supaya proses meroboh tidak dapat dilaksanakan walaupun perintah mahkamah dan bailif telah dilantik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, isu kedua yang berlaku adalah disebabkan beberapa pemilik yang tidak menandatangani kerjasama (JV) dengan pemaju membawa isu pampasan diterima ke mahkamah.
“Jadi sekarang ini projek tersebut terpaksa ditangguhkan supaya penilaian dapat dibuat. Pemaju mengambil sikap berhati-hati untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit terlebih dahulu sebelum meneruskan pembangunan.
“Tetapi, cepat atau lambat projek pembangunan ini memang perlu diteruskan sebab warta Akta Pengambilan Tanah sudah dikeluarkan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, projek pembangunan Kampung Sungai Baru perlu diteruskan selepas pewartaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan pada tahun 2021.
Katanya, pembatalan projek pembangunan itu bukan lagi pilihan sebaliknya perlu diteruskan supaya penantian pemilik flat dan lot rumah teres itu yang menandatangani perjanjian ditamatkan segera.
“Mereka sudah menandatangani persetujuan perjanjian usaha sama, menerima pampasan dan berpindah keluar seperti diminta pemaju. Jadi keputusan itu tidak boleh undur.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mencari penyelesaian bagi membolehkan pemaju memulakan projek segera supaya tidak lagi terbengkalai.
“Projek mungkin mengambil masa lima tahun (dari sekarang) kerana kalau projek disiapkan cepat pun, ia tetap memerlukan 11 atau 12 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Adam berkata, sebagai wakil kepada 227 pemilik flat dan lot rumah teres di Kampung Sungai Baru, beliau berharap projek dapat dilaksanakan dan disiapkan segera supaya kesemua pemilik yang menandatangani kerjasama dapat pulang ke kampung halaman.
“Masuk tahun ini sudah hampir sembilan tahun kami keluar daripada Kampung Sungai Baru, jadi kami berharap projek ini dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Sehingga kini, seramai 192 pemilik flat dan 35 lot rumah teres menandatangi kerjasama projek pembangunan Kampung Sungai Baru manakala 109 lagi yang tidak bersetuju diberikan pampasan berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960. – UTUSAN









