JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut tersepit apabila Perodua Myvi dipandunya terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bestari, Bestari Indah, di sini petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan II M. K. Haridas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 3.07 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan dua pacuan empat roda berlaku di jalan berkenaan menghala ke Felda Ulu Tebrau. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum Yap Seiw Lean yang berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa yang lain dibawa dengan ambulans. – UTUSAN