KUANTAN: Seorang penuntut kolej teruja dan terkejut apabila hadiah cabutan bertuah kereta raya diperolehnya dicabut dan disampaikan sendiri oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Amy Naiima Wong Muhammad Wong Kim Hwa, 19, berkata, dia memang berdebar ketika namanya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama kereta Perodua Axia pada program yang diadakan di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini baru-baru ini.
“Ketika mula nama diumumkan, memang saya kaku terdiam seketika kerana terkejut jadi pemenang hadiah utama kereta.
“Hanya Allah SWT sahaja tahu perasaan saya, menggeletar sampai salah naik tangga hendak naik atas ambil hadiah yang disampaikan pula oleh Tengku Mahkota Pahang,” katanya ketika ditemui.
Cabutan bertuah setiap minggu merupakan kelainan yang dibuat khas oleh Mitashamika Resources untuk menghargai pengunjung yang membuat pembelian di bazar Aidilfitri berkenaan.
Pada cabutan minggu keempat pada 28 Mac lalu, enam hadiah disediakan buat penunjung bertuah iaitu kereta, sebuah motosikal, skuter elektrik, pendingin hawa dan dua hamper makanan.
Amy Naiima Wong berkata, dia tidak menyangka baju raya RM400 sepasang dibelinya membolehkannya menjadi pemenang hadiah utama cabutan bertuah disediakan oleh pihak penganjur.
“Kereta ini dijadikan kereta keluarga atau saya bawa balik ke kolej di Melaka,” katanya.
Penganjur bazar, Shafieq Johari berterima kasih kepada orang ramai yang mengunjungi dan membeli di Dataran Sekilau sepanjang sebulan bazar Aidilfitri itu diadakan.
“Insya-Allah kami akan terus melakukan yang terbaik dan membuat kelainan pada penganjuran Aidilfitri tahun depan,” katanya.-UTUSAN.