Nazri dilantik Setiausaha Kerajaan Pahang baharu, Fadzilla Pegawai Kewangan Negeri - Utusan Malaysia

Nazri dilantik Setiausaha Kerajaan Pahang baharu, Fadzilla Pegawai Kewangan Negeri

NAZRI Abu Bakar (dua dari kanan) dan Fadzilla Salleh (kiri) menerima suratcara pengisytiharan pelantikan dan ikrar taat setia sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang dan Pegawai Kewangan Negeri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan serta menyaksikan Ikrar Taat Setia dua pegawai kanan kerajaan negeri dalam istiadat di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Pelantikan itu membabitkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan negeri baharu, Datuk Fadzilla Salleh.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda menegaskan bahawa pelantikan yang diberikan bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

“Dalam masa sama, pelantikan ini tidak dilihat sebagai satu keistimewaan semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab yang besar dan mulia.

“Kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan, bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri tetapi juga daripada rakyat jelata yang meletakkan harapan tinggi kepada kewibawaan dan kebijaksanaan para pemimpin negeri ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa pelantikan dua pegawai kanan itu akan memacu negeri Pahang ke arah yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

“Jadilah pemimpin yang bukan sahaja cekap, tetapi juga berjiwa besar, rendah hati, dan menjunjung tinggi nilai integriti dalam setiap tindakan. Berbaktilah dengan jujur, bertindaklah dengan adil, dan sentiasalah meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala yang lain,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN