KUANTAN: Sekretariat Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG) buat julung kalinya mengadakan perbincangan dengan syarikat Penyedia Perkhidmatan P-Hailing (PHO), LalaMove Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu dan masalah dihadapi penggiat industri berkenaan.
Pertemuan tersebut diadakan antara Pengerusi MyGiG, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan juga Pengurus Hal Ehwal Awam LalaMove Malaysia, Abhishek Menon.
Mohd. Sharkar berkata, dalam pertemuan itu, beberapa perkara utama dibincangkan antaranya keselamatan kenderaan penghantaran barangan.
“Turut dibincangkan adalah berhubung sistem operasi perkhidmatan pengambilan dan penghantaran barangan LalaMove Malaysia dan kadar upah perkhidmatan pengambilan dan penghantaran barangan.
“Perbincangan turut menyentuh tentang Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan masalah pengguna,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, pertemuan akan diatur kali kedua selepas ini setelah pihak LalaMove Malaysia menilai semula perkara-perkara terbabit.
“Kita juga menunggu pihak LalaMove Malaysia memberikan maklum balas langkah-langkah yang akan diambil atas aduan yang dibangkitkan dalam pertemuan ini,” katanya.
Beliau berkata, MyGiG akan terus memainkan peranan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi penggiat industri GiG di seluruh negara.
“Penghantar p-hailing ini adalah tulang belakang bagi ekonomi GiG dengan ramai pihak yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.
“Disebabkan perkhidmatan merekalah, banyak isi rumah boleh memesan makanan dan ada peniaga yang sepenuhnya bergantung kepada khidmat mereka bagi menghantar makanan,” katanya. – UTUSAN