Mercu Tanda Jubli Perak lambang keutuhan dan kesepaduan rakyat - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Mercu Tanda Jubli Perak lambang keutuhan dan kesepaduan rakyat – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan) berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Mercu Tanda Jubli Perak di Bulatan Padang Besar, Perlis semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian mercu tanda baharu negeri ini terletak di Bulatan Padang Besar yang dibangunkan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, mercu tanda baharu bukan sekadar pembinaan struktur fizikal semata-mata namun merupakan simbol keutuhan, kesepaduan dan cinta rakyat terhadap negeri.

“Semoga ia menjadi tempat yang menyatukan kenangan, membina harapan dan membakar semangat generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada negeri ini dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab,” titah baginda.

Mercu Tanda Jubli Perak adalah berkonsepkan ‘Taman Syurga’ melambangkan keindahan dan ketenangan dengan meletakkan Tengkolok Putra Julang Darjat pada bahagian puncaknya.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, tempoh 25 tahun pemerintahan baginda telah memperlihatkan pelbagai cabaran dan kejayaan di negeri ini.

“Beta bersyukur kerana sepanjang tempoh tersebut, negeri Perlis telah berkembang secara beransur-ansur dalam pelbagai aspek daripada pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan hinggalah kepada perpaduan masyarakat yang utuh.

“Segala pencapaian ini bukanlah hasil usaha individu tetapi berkat kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, sambutan Jubli Perak juga menjadi titik muhasabah buat semua pihak untuk terus memperkukuh nilai-nilai murni, memperkasa institusi kekeluargaan, mempertingkat ilmu pengetahuan dan memelihara keharmonian yang dibina bersama.

“Beta menyeru semua pihak agar terus menjunjung prinsip keadilan, keutuhan pentadbiran dan kelestarian alam sekitar
dalam setiap dasar serta tindakan.

“Biarlah Perlis terus dikenali bukan sahaja sebagai negeri yang aman, tetapi juga sebagai negeri yang bijak mengimbangi kemajuan dengan warisan, moden dengan nilai dan pembangunan dengan kesejahteraan,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya