IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyentuh tentang kepentingan negeri untuk memakmurkan sumber laut dan marin negeri.
Titah baginda, pelancaran Hala Tuju Ekonomi Biru sebagai pendekatan strategik ke arah mengembangkan potensi ekonomi biru secara mampan agar tercapai hasrat untuk memakmurkan sumber laut dan mengurus sumber marin secara lestari.
“Usaha membangunkan sektor ekonomi biru akan direalisasikan melalui pembangunan sektor utama dan pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan pengurusan pemuliharaan marin,” baginda bertitah.
Sultan Nazrin bertitah demikian semasa menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di sini semalam.
Baginda turut menyentuh mengenai pembangunan bandar pintar negeri melalui Blueprint Bandar Pintar 2040 yang menekankan elemen penduduk.
Titah baginda, Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar berjaya meraih status Smart City Early Adopters menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2024, sementara Majlis Bandaraya Ipoh akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Cities Series Windows: Smart Green ASEAN Cities 2025 yang melibatkan 12 bandar raya negara anggota ASEAN.
“Amatlah dihargai sokongan Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang bersetuju menyediakan peruntukan kewangan untuk menjayakan pembangunan bandar pintar di negeri Perak,” titah baginda.-UTUSAN.