Lelaki maut dipatuk ular tedung selar - Utusan Malaysia

Lelaki maut dipatuk ular tedung selar

SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipatuk ular tedung selar ketika dalam perjalanan ke surau berhampiran rumahnya di Kampung Pelak di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang lelaki, Zainal Azharuddin Zainal Abidin, 52, ditemukan maut dipercayai akibat dipatuk ular tedung selar ketika dalam perjalanan ke surau berhampiran rumahnya di Kampung Pelak, di sini malam semalam.

Menurut adik mangsa, Zainal Amri, 50, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam, ketika abangnya keluar menaiki kereta untuk menunaikan solat Maghrib di Surau Kampung Tanjung Chempaka, kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Arwah sempat keluar dari kereta dan dipercayai ternampak seekor ular lalu berpatah balik mengambil sebatang buluh dari dalam kenderaan. Namun, ketika berpaling, arwah dipatuk pada betis dan rebah tidak jauh dari keretanya,” katanya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh singkat akibat patukan berbisa itu tanpa disedari orang ramai.

Menurut Zainal Amri lagi, kawasan sekitar merupakan kebun kelapa dan sawit milik penduduk yang dikenal pasti sebagai habitat pelbagai jenis ular termasuk ular berbisa.

Kejadian hanya disedari awal pagi tadi apabila kakak mangsa, Zainol Aluyah Zainal Abidin, 58, menyedari ketiadaan arwah di dalam bilik sewaktu mahu mengejutkannya untuk solat Subuh.

“Kakak saya terkejut apabila mendapati arwah tiada di rumah. Dia kemudian keluar mencarinya dan ternampak kereta arwah berhampiran surau. Bila dihampiri, dia sangat terkejut melihat mayat adik terbujur di tepi kereta, kakinya dihurung semut dan terdapat kesan gigitan ular,” jelasnya.

Menurut keluarga, arwah yang masih bujang tinggal bersama kakaknya itu dan sering ke masjid atau surau berdekatan terutama pada waktu malam.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian akibat patukan ular berbisa.

Jenazah Allahyarham Zainal Azharuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelak sebelum solat Zohor hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN