PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera berunding dengan syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini bagi memahami kesan sebenar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap operasi mereka.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, rundingan itu penting bagi menilai sejauh mana syarikat mampu bertahan dalam menghadapi peningkatan kos akibat tarif tersebut.
Beliau menjelaskan, pemindahan operasi bukanlah sesuatu yang mudah atau boleh dilakukan segera kerana melibatkan peralatan dan kelengkapan yang mahal.
“Kerajaan mesti mula berunding dengan syarikat-syarikat yang terlibat untuk mengetahui secara menyeluruh bagaimana dan setakat mana operasi mereka terjejas.
“Kemudian kerajaan boleh mencari cara dan langkah bagi membolehkan syarikat-syarikat yang terlibat terus beroperasi di Malaysia.
“Bukan senang hendak memindahkan operasi-operasi yang melibatkan pelbagai peralatan yang mahal. Ini bukan operasi ‘mudah alih’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan AS terhadap barangan import dari Malaysia.
Langkah itu jelas menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump lebih cenderung kepada dasar ‘America First’ apabila AS bertindak secara unilateral tanpa mengambil kira prinsip rundingan antarabangsa yang biasa diamalkan.
Rafidah berkata, AS tidak akan mengambil keputusan secara tergesa-gesa dalam isu perdagangan kerana ia melibatkan pelbagai kepentingan ekonomi dan politik.
Sudah tentu, katanya, Trump akan menilai kesan tarif ini terhadap syarikat AS sendiri, termasuk yang mempunyai operasi di Malaysia serta impaknya terhadap pengguna dan ekonomi domestik.
“AS akan membuat perkiraan teliti dan mengambil keputusan untuk kesan jangka panjang (perdagangan global dengan rakan dagang lain),” katanya.
Menurutnya, Trump secara jelas menjadikan defisit dagangan sebagai asas perdagangan yang bertentangan dengan prinsip perundingan tradisional yang lebih menekankan kepentingan bersama dalam perdagangan antarabangsa.
Katanya, pendekatan perdagangan itu jelas bertentangan dengan norma antarabangsa.
“Ini termasuk konsep perjanjian bilateral, plurilateral melibatkan beberapa negara dalam satu kumpulan seperti ASEAN dan multilateral iaitu perjanjian dalam kerangka organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Ini belum pernah menjadi asas (perundingan perdagangan) kerana mengetepikan asas-asas perundingan selama ini. Trump sudah lari daripada konsep dan semangat perundingan dengan negara-negara lain,” katanya.
Berdasarkan data Reuters, Malaysia mencatatkan defisit dagangan dengan AS bernilai AS$25 bilion (RM111 bilion) .
Defisit dagangan berlaku apabila Malaysia mengeksport lebih banyak barangan ke negara berkenaan berbanding jumlah import dari AS.
Perdagangan dua hala Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, merangkumi 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara. – UTUSAN










