Kerajaan negeri hargai komitmen PM beri keutamaan agenda pembangunan Islam - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri hargai komitmen PM beri keutamaan agenda pembangunan Islam

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Mohd. Shukri Ramli pada majlis perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Dewan 2020, di Kangar Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri amat menghargai dan menyokong penuh komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan agenda pembangunan Islam terus diberi keutamaan dalam kerangka pembangunan negara ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, ia seperti inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengukuhkan nilai-nilai murni berteraskan al-Quran, peruntukan besar disalurkan untuk pembangunan institusi tahfiz dan pendidikan Islam serta pengukuhan program dakwah digital bagi menyebarkan ilmu al-Quran secara lebih meluas.

Beliau yakin semua ini bagi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam melahirkan masyarakat yang bukan hanya maju daripada sudut material, tetapi juga kukuh dari aspek spiritual.

“Selain itu, dalam usaha melahirkan generasi celik al-Quran, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dengan memperkasa institusi-institusi tahfiz menerusi bantuan dan sokongan sama ada dari segi pembangunan akademik, prasarana serta aktiviti-aktiviti ke arah membina peribadi dan sahsiah huffaz yang unggul.

“Malah, pengimarahan masjid-masjid dan surau juga dilaksanakan secara konsisten menerusi kempen nak berjaya ‘jom solat’. Kempen ini dilaksanakan bagi menarik Muslim untuk mendirikan solat secara berjemaah di masjid-masjid.

“Tahun ini pula, kita akan meneruskan kempen nak tenang, nak bahagia ‘jom baca al-Quran’. Kempen ini selari dengan Perlis yang menjadi tuan rumah bagi majlis yang cukup bermakna ini.

“Kesemua usaha ini dilaksanakan dengan keyakinan penuh bahawa ia selari dengan hasrat kerajaan pimpinan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpaksikan al-Quran dan sunnah,” katanya berucap pada majlis perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Dewan 2020 di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Anwar yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Shukri berkata, bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan kali ini telah memperuntukan lebih RM1 juta dengan RM500,000 dari kerajaan negeri bagi persiapan dan kelancaran sepanjang majlis berkenaan.

“Kita juga berbesar hati telah menerima sumbangan peruntukan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM600,000. Cuma saya difahamkan peruntukan yang diperoleh pada kali ini sangat sedikit berbanding peruntukan yang telah diberikan kepada negeri lain sebelum ini bagi mendanai kos persiapan dan pengurusan majlis mega seperti ini.

“Bagaimanapun syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penganjur, walaupun peruntukan diperolehi tidaklah tinggi namun berjaya membuat persiapan yang cukup hebat serta mampu memastikan majlis ini berjalan dengan lancar seperti dijadualkan.

“Dalam pada itu, kepada para peserta tilawah dan hafazan yang dikasihi, anda semua adalah duta-duta al-Quran yang akan meneruskan warisan mulia ini. Ingatlah dalam pertandingan ini, yang paling utama bukanlah siapa yang menang atau kalah, tetapi sejauh mana kita mampu istiqamah dalam memelihara kemurnian al-Quran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya