KUANTAN: Tindakan tegas kerajaan negeri terhadap pencerobohan tanah haram termasuk yang melibatkan pekebun durian Musang King di Raub, dekat sini bukan sesuatu yang baharu.
Sebaliknya, tindakan itu merupakan kesinambungan daripada pendekatan berprinsip dan konsisten yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, rakyat perlu sedar bahawa kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dengan jenayah pencerobohan tanah dan tindakan dibuat hasil usaha berterusan yang lama digerakkan.
“Sebenarnya, Datuk Seri Wan Rosdy selaku Menteri Besar tidak pernah berdiam diri. Beliau sudah lama mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah haram di seluruh Pahang termasuk terbaru melibatkan pekebun-pekebun Musang King haram di Raub.
“Sebelum bersama Pakatan Harapan (PH) pun, kerajaan negeri telah bertindak. Ini bukan soal kaum, ini soal undang-undang yang mesti dihormati semua pihak. Jangan ada yang cuba menangguk di air keruh dan tampil kononnya sebagai ‘penyelamat’ selepas kerajaan negeri mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tindakan kerajaan negeri ini turut mendapat sokongan penuh daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah bahawa, tiada sebarang kelulusan akan diberikan terhadap tanah yang telah diceroboh secara haram.
“Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta,” titah baginda sempena pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Nik Mohd. Ridzuan turut menegaskan bahawa tindakan kerajaan negeri konsisten dan membabitkan pelbagai lokasi di seluruh negeri.
“Pada Oktober 2020, kerajaan negeri menerusi Ops Lestari memulihkan 38 hektar kawasan hutan yang diteroka secara haram dan mewartakan 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat di Cameron Highlands. Hasil pemulihan menyeluruh yang dibuat, kualiti air di situ meningkat daripada tahap empat kepada tahap satu.
“Selepas itu, Tasik Chini, Pekan pada Jun 2021. Kawasan sekitar tasik diwartakan seluas 4,498 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK). Semua permohonan lombong baru dibatalkan dan pemantauan dilakukan melalui kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
“Kerajaan negeri juga mengambil langkah agresif membanteras perlombongan haram di sekitar kawasan sensitif ini, termasuk tindakan terhadap pengusaha lombong tidak sah yang telah merosakkan ekosistem warisan semula jadi negara itu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan turut dilakukan di Sungai Perdak, Bentong pada November 2024 apabila penemuan kawasan ladang durian haram melalui pemantauan udara membawa kepada arahan siasatan dan tindakan penguatkuasaan segera oleh pihak berkuasa.
“Pada Mac hingga bulan ini di Raub, penguatkuasaan besar-besaran dijalankan terhadap pekebun Musang King haram. Ini termasuk penahanan individu, pemotongan pokok yang ditanam secara haram dan pendakwaan di mahkamah melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP),” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Ridzuan menyeru seluruh rakyat untuk berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam mempertahankan undang-undang dan kedaulatan tanah negeri.
“Saya yakin bahawa akan ada lagi siri-siri penguatkuasaan tegas yang akan diambil oleh kerajaan negeri terhadap jenayah pencerobohan ini. Rakyat seharusnya bersama-sama menyokong usaha ini, kerana inilah bentuk pentadbiran yang berani, adil dan berprinsip,” katanya.
Tambahnya, pentadbiran Wan Rosdy membuktikan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang-undang dan tiada ruang bagi politik sempit atau retorik kaum dalam isu melibatkan hak negeri serta kedaulatan tanah milik rakyat. – UTUSAN