TEMERLOH: Barisan Peguam Muda PKR Temerloh memandang serius isu Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang disiarkan dalam muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan semalam.
Wakil mereka yang juga Ketua Biro Undang-Undang Majlis Pemimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, akhbar berbahasa Cina itu perlu mengambil tanggungjawab terhadap isu yang ditimbulkan kerana ia tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, pihak mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini bagi memastikan perkara itu disiasat dengan tiliti.
“Kami percaya bahawa tindakan ini adalah perlu untuk memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.
“Umum tahu bahawa akhbar bahasa Cina terbabit sudah lama beroperasi dan kesilapan sedemikian suatu yang tidak boleh diterima parti dan rakyat Malaysia secara amnya.
“Justeru itu, kami menggesa agar semua pihak sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan yang akhirnya menimbulkan polemik dan mengganggu keharmonian pelbagai kaum serta agama di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Abdullah Hakim berkata, selain mengambil pengajaran, tindakan tegas terhadap akhbar berbahasa Cina itu perlu diambil pihak berkuasa agar kesilapan sama tidak berulang.
“Sebagai rakyat Malaysia kita perlu sentiasa peka dengan undang-undang dan Perlembagaan negara yang menjadi pegangan sesiapa pun yang bergelar warganegara.
“Kami barisan peguam akan sentiasa akan sentiasa memantau sekiranya ada pelanggaaran mana-mana pihak dan memastikan perlembagaan dan undang-undang dipatuhi,” katanya. – UTUSAN