Empat rumah terbakar di Wilayah Jengka sejak awal tahun termasuk rumah pengurus Felda - Utusan Malaysia

Empat rumah terbakar di Wilayah Jengka sejak awal tahun termasuk rumah pengurus Felda

RAZAK DAUD (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan RM500 kepada Muhammad Faizuri Zakaria di Felda Jengka 10 di Jerantut, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebuah rumah milik pengurus Felda Jengka 10 musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran Ahad lalu menjadikan ia insiden keempat melibatkan kediaman peneroka di Wilayah Felda Jengka sejak awal tahun ini.

Pengerusi Gabungan 37 Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, dua insiden terdahulu membabitkan rumah peneroka Felda Sungai Retang termasuk satu kes dua hari sebelum umat Islam memulakan ibadah puasa.

“Kini, sebuah rumah lagi terbakar di Felda Jengka 10 melibatkan rumah pengurus rancangan sendiri,” katanya ketika menyampaikan sumbangan tunai RM500 kepada mangsa, Muhammad Faizuri Zakaria di sini hari ini.

Muhammad Faizuri, 47, antara mangsa terjejas di Felda Jengka 10 berkata, beliau hanya mampu melihat kediamannya musnah terbakar sebaik tiba dari menghantar anak ke asrama di Seberang Temerloh.

“Saya tinggal seorang. Isteri dan anak-anak di Lepau Utara. Rumah ini rumah utama kami. Bila sampai, bomba belum sampai. Saya sempat tarik motor keluar, tapi kereta saya terbakar di sebelah. Cover set pun cair,” katanya dalam nada sebak.

Tambahnya, rumah itu dibina sejak 1974 dan telah beberapa kali dibaik pulih serta lengkap dengan bekalan elektrik.

Rakaman video saksi kejadian mendapati punca kebakaran dipercayai berpunca daripada kotak DB utama elektrik.

Susulan kejadian, Gabungan Masjid Wilayah Jengka menghulurkan bantuan awal berupa sumbangan tunai RM500 kepada setiap keluarga terlibat, manakala kutipan derma turut digerakkan di 37 buah masjid seluruh wilayah berkenaan.

Sementara itu, Razak memaklumkan pihaknya sedang mengusulkan inisiatif caruman insurans bencana RM67 setahun kepada warga Felda seluruh wilayah sebagai langkah perlindungan sekiranya berlaku kejadian tidak dijangka.

“Inisiatif ini sedang dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi Felda. Kita harap ia mendapat kelulusan demi menjaga kebajikan peneroka dan keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN