KANGAR: Dinding Gua Cenderawasih yang dicat putih untuk pembangunan kafe di situ adalah bagi menutup perkataan kesat dan kurang sopan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kegiatan vandalisme.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pengusaha kafe yang menyewa tapak berkenaan juga hanya menggunakan cat kapur bagi menutup perkataan kurang sopan itu malah ia boleh dihapuskan semula selepas ini.
Kata beliau, sekiranya kafe itu beroperasi kelak, perkataan kurang sopan yang terdapat di dinding gua tersebut akan memberi gambaran budaya tidak manis buat penduduk negeri ini.
“Disebabkan itulah, dinding itu dicat oleh penyewa tapak berkenaan bagi menutupi perkataan-perkataan kurang sopan disebabkan kegiatan vandalisme tersebut.
“Kalau buka kafe dalam gua itu dengan perkataan tak sepatutnya terpapar di sana, ia akan gambarkan budaya orang Perlis ini tak manis,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini
Sebelum ini, beberapa pihak tampil mengkritik kerja-kerja pembinaan kafe di kawasan itu yang didakwa boleh memusnahkan biodiversiti terdapat di gua tersebut.
Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah mengambil pendekatan mengadakan pertemuan bersama beberapa pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu binaan tersebut.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth dilaporkan berkata, pihaknya mengambil pendekatan positif membincangkan isu itu bersama pihak terlibat dalam mencapai persefahaman khususnya bagi memastikan ekosistem di lokasi geotapak itu terpelihara.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, struktur yang dibangunkan di gua tersebut juga terletak pada bahagian luar malah ia juga hanyalah binaan sementara dan bukannya kekal.
“Antara elemen yang diberi perhatian dalam pembangunan kafe ini adalah bagi menarik kehadiran pelancong dan mengurangkan kegiatan negatif seperti maksiat selain kegiatan vadalisme lain yang mencemarkan kawasan itu.
Ini adalah langkah yang baik namun kita akan melihat kembali beberapa perkara sekiranya memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Kata Mohd. Shukri, buat sementara waktu ini, pelaksanaan kafe berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu bagi meneliti beberapa peraturan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan geotapak.
“Kita tangguhkan sementara bukan atas desakan mana-mana pihak namun sebaliknya bagi meneliti sebarang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan selepas ini,” katanya.-UTUSAN