KANGAR: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya dapat mengimbangi ibadah yang akan dilaksanakan di Tanah Suci dengan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, saranan itu agar jemaah dapat mengekalkan prestasi dan disiplin yang baik sepanjang di tanah suci tersebut.
Katanya, menerusi pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah sebelum ini, mereka juga kerap memuji disiplin baik ditunjukkan dalam kalangan jemaah negara ini.
“Buat masa ini, kerajaan Malaysia tidak menerima sebarang aduan secara rasmi berhubung keterlibatan jemaah haji negara ini atas beberapa kesalahan pada tahun lalu atau sebelumnya.
“Sebab itu saya sering beri peringatan kepada bakal jemaah haji dan umrah supaya mereka dapat mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Mohd. Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat jemaah negara ini yang menjadi antara 18,407 individu ditahan dalam tempoh seminggu atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran undang-undang imigresen, buruh dan keselamatan sempadan di Arab Saudi.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), daripada jumlah itu, 12,995 individu ditahan kerana melanggar undang-undang pemastautin, 3,512 kerana memasuki sempadan secara haram dan 1,900 atas kesalahan berkaitan pekerjaan.
Sebelum itu, kerajaan Arab Saudi turut mengenakan larangan visa sementara terhadap 14 negara menjelang musim haji ini antaranya Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman.
Mohd. Na’im berkata, setiap negara mempunyai peraturan tersendiri dan tindakan kerajaan Arab Saudi itu merupakan peranan pemerintah bertanggungjawab dalam memastikan kemashalatan rakyatnya.
“Setiap kerajaan mempunyai tanggungjawab, jadi mereka tetapkan peraturan itu yang bukan untuk menyusahkan, tapi demi kebaikan semua.
“Jadi saya syorkan dan harapkan jemaah Malaysia dapat mematuhi peraturan ini dengan tidak terlibat dalam mana-mana perbuatan melanggar peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN