Anwar hargai komitmen Thai majukan projek sempadan

Anwar hargai komitmen Thai majukan projek sempadan

ANWAR Ibrahim yang dalam rangka lawatan ke Thailand, mengadakan pertemuan dengan Paetongtarn Shinawatra di Bangkok, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Thailand kerana memberi komitmen untuk merealisasikan projek-projek di sempadan kedua-dua negara termasuk pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang – Sungai Golok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan itu kepada rakan sejawatnya di Thailand, Paetongtarn Shinawatra atas komitmen diberikan untuk memajukan projek-projek tersebut.

“Saya dan Perdana Menteri, Paetongtarn sepakat untuk me­nyegerakan pelaksanaan pro­jek-projek utama termasuk pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang – Sungai Golok dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.

“Pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang – Sungai Golok mencapai kemajuan penting tatkala kami menyaksikan detik bersejarah pemeteraian perjanjian pembinaan jambatan persahabatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn di Government House, di Bangkok, sempena lawatan kerja dua hari ke Thailand, bermula semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat singkat itu adalah, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Paetongtarn kerana bersetuju mengadakan mesyuarat dua hala tersebut walaupun dalam tempoh notis singkat.

Katanya, selain mesyuarat dua hala itu, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN untuk membincangkan isu global dan serantau terma­suk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

“Ini termasuk polisi tarif Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump dan perjumpaan terbaru (Anwar) bersama Presiden China, Xi Jinping,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas membawa Anwar dan delegasi selamat mendarat di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira jam 1.20 tengah hari waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.

Dalam lawatan keempat ke Thailand sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022, Anwar dan Paetongtarn bakal menyaksikan pertukaran perjanjian berkaitan pembinaan jambatan kedua serta menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok.

Beliau juga dijadual bertemu Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN