Anak kucing mati diseksa, tiga kanak-kanak dikecam

Anak kucing mati diseksa, tiga kanak-kanak dikecam

kucing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan kejam tiga kanak-kanak lelaki yang menyeksa seekor anak kucing dengan membiarkannya digigit anjing sehingga mati di Seri Setali di sini tular di media sosial sejak semalam.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak tersebut turut bertindak menceroboh masuk ke kawasan kediaman seorang wanita tanpa kebenaran sebelum melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berdurasi seminit 20 saat itu dikongsi pemilik rumah berkenaan, Chow Ling Ling di laman Facebook miliknya.

Dalam rakaman tersebut, tiga kanak-kanak terbabit pada awalnya kelihatan bermain bola di tepi pagar rumah berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka dilihat membawa seekor anak kucing.

Mereka kemudian meletakkan anak kucing itu di celahan kecil pagar dan membiarkan anjing di dalam kawasan rumah tersebut menggigit haiwan malang itu hingga mati.

“Tiga kanak-kanak ini masuk ke rumah saya tanpa kebenaran dan meletakkan anak kucing malang itu di celah kecil pintu saya dan membiarkan anjing saya menggigitnya sehingga mati,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan warganet yang menyifatkannya sebagai perbuatan kejam dan melampaui batas.

“Budak-budak ni bukan nakal, tapi jahat. Kalau dah ada naluri suka tengok hidupan lain mati atau terseksa, maksudnya ada masalah mental. Kalau tak dibendung, mungkin suatu hari nanti jadi pembunuh,” kata seorang pengguna Facebook, Shwni Ishk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN