SEPANG: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diperintahkan untuk membela diri atas empat tuduhan memuat naik kandungan video sumbang di media sosial tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu semalam selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad menegaskan bahawa video yang dimuat naik oleh Aliff Syukri ketika bulan Ramadan mengandungi unsur tidak sopan serta tidak menghormati bulan suci tersebut.
“Hujahan pihak pembelaan bahawa video tersebut tidak dimuat naik oleh anak guamnya adalah tidak berasas. Ini kerana akaun media sosial tertuduh menggunakan sistem pengesahan dua faktor (two-factor authentication), yang membuktikan dia mempunyai pengetahuan dan kawalan terhadap kandungan yang dimuat naik,” katanya.
Aliff Syukri yang diwakili peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd. Radzlan Jalaludin, kini perlu memilih kaedah pembelaan yang akan digunakan dalam perbicaraan seterusnya.
Mahkamah menetapkan 19 dan 22 Mei, 16 Jun serta 3 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan bagi peringkat pembelaan.
Sementara itu, Awang Armadajaya memaklumkan kepada media bahawa pihaknya akan menentukan strategi pembelaan dalam masa terdekat.
Menurutnya, tertuduh mempunyai tiga pilihan, iaitu memberi keterangan dari kandang saksi dan disoal balas pihak pendakwaan, memberi keterangan dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.
Ketika ditemui media selepas prosiding, Aliff Syukri menyatakan bahawa beliau menghormati keputusan mahkamah dan menyerahkan segala tindakan selanjutnya kepada peguamnya.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan setelah hampir dua tahun kes ini berjalan, saya akan mengikut nasihat peguam dalam proses pembelaan nanti,” katanya.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, @aliffsyukriterlajaklaris, dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes ini mencuri perhatian ramai selepas satu muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat yang diterbitkan oleh Aliff Syukri pada tahun 2022 mencetuskan kontroversi. Video itu memaparkan aksi keterlaluan beberapa individu yang disifatkan tidak sesuai dengan budaya sambutan Aidilfitri, selain didakwa mengandungi unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Susulan itu, muzik video berkenaan mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk netizen dan tokoh agama, yang menyifatkan kandungan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap norma masyarakat Malaysia.
Kes perbicaraan ini dijangka terus menjadi perhatian umum, khususnya dalam konteks ketelusan undang-undang dalam mengawal kandungan digital serta isu kebebasan berkarya dalam talian.