PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo Nodai) memperkukuhkan kerjasama bagi pemulihaan paya bakau di Sarawak.
Kerjasama itu melalui pengajuran Tokyo NODAI–UPMKB Borneo Mangrove Exploration Student Inbound Program 2025 oleh Institut EkoSains Borneo (IEB), UPM Kampus Bintulu dan Tokyo Nodai.
Program berlangsung di Kuala Sibuti, menghimpunkan seramai 10 ahli Kelab Penyelidikan Bakau (Mangrove Research Club Tokyo NODAI) untuk meninjau sendiri ekosistem bakau di Borneo.
Menurut Pengarah IEB, UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus, program bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai kepelbagaian biologi bakau di Sarawak dan cabaran pemuliharaannya.
“Melalui program ini, peserta dapat memahami secara langsung kepelbagaian biologi bakau di Sarawak serta cabaran pemuliharaannya,” katanya dalam kenyataan.
Penganjuran program turut mendapat kerjasama Pejabat Hutan Wilayah Miri dalam usaha UPMKB memperkukuh kajian ekosistem bakau dan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, inisiatif itu dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam pemeliharaan ekosistem bakau yang kritikal bagi keseimbangan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti.
Bagi pelajar jurusan perhutanan dari Tokyo NODAI, Naoki Kato, penglibatannya dalam program itu merupakan pengalaman pertama dalam meneroka ekosistem bakau di Borneo.
“Saya berharap program ini dijadikan inisiatif tahunan untuk Mangrove Research Club bagi memberi peluang kepada pelajar dalam menjalankan penyelidikan,” katanya. – UTUSAN










