KUALA KRAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas serbuk dakwat pencetak (toner) komputer yang disyaki tiruan bernilai lebih RM90,000 selepas menahan sebuah lori di sini semalam.
Rampasan pukul 10.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori telah menjumpai 277 unit toner disyaki tiruan.
Katanya, pengesahan itu hasil pemeriksaan oleh pemilik cap dagang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN akan terus melakukan operasi dalam usaha membanteras penjualan barangan tiruan bagi melindungi pengguna.-UTUSAN