Tolong jaga adab, batas sensitiviti agama - Utusan Malaysia

Tolong jaga adab, batas sensitiviti agama

DR. MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan se­perti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, menegaskan, sebarang tindakan yang mencetuskan sensitiviti agama boleh dikenakan tindakan undang-undang dan harus dielak­kan demi keharmonian negara.

“Saya merujuk kepada insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di media sosial baru-baru ini. Perbuatan ini amat dikesali dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook dikesan memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW dan amalan umat Islam menggunakan bahasa yang tidak sopan.

Mohd. Na’im meluahkan rasa dukacita kerana kes sebegini masih berlaku, sedangkan rakyat Malaysia sepatutnya memahami batas sensitiviti agama dan implikasi undang-undang.

“Mereka harus lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan di media sosial. Setiap individu bertanggungjawab menjaga keharmonian dan mengelakkan provokasi yang boleh mengganggu-gugat perpaduan,” katanya.

Sehubungan itu, agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mempergiat usaha kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga sensitiviti agama.

“Semua pihak perlu menjaga adab dan batas dalam bersosial, lebih-lebih lagi di platform digital. Langkah ini penting bagi memastikan keamanan dan kesejah­teraan antara kaum te­rus terpelihara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN