BESUT: Seorang pemborong menawarkan harga 90 sen bagi satu kilogram tembikai bagi mengelakkan petani kerugian ekoran lambakan buah itu ketika Ramadan.
Mohd. Bukhari Mohd Rosdi, 38, berkata, strategi itu dilakukan sejak Sabtu lalu di gerai sementaranya di Kampung Anak Ikan, di sini sebagai inisiatif menarik pembeli.
Katanya, lambakan tembikai berlaku sejak awal Ramadan lalu menyebabkan harga buah itu jatuh mendadak sehingga harga lantai atau harga ladang merekodkan sebanyak 60 sen bagi satu kilogram.
“Kejatuhan harga tembikai pada Ramadan tahun ini dilihat paling teruk dalam tempoh 10 tahun kerana rata-rata pengeluaran tanaman ini di beberapa negeri turut memberi fokus penjualan tembikai ketika bulan puasa.
“Selain itu, boleh dikatakan sepanjang jalan di seluruh negeri ini ada peniaga menjual tembikai dengan harga RM1 sehingga RM1.50 bagi satu kilogram. Ia menyebabkan persaingan sengit dalam kalangan penjual tembikai,” katanya ketika ditemui di gerainya.
Mohd. Bukhari berkata, disebabkan itu dia menawarkan harga lebih murah dan inisiatif itu berkesan apabila mampu menjual kira-kira dua tan metrik tembikai setiap hari.
Katanya, harga 90 sen yang ditawarkan adalah untuk satu kilogram tembikai gred A dan AA manakala tembikai gred B pula dijual secara longgok iaitu RM10 bagi empat biji dan RM15 untuk ‘kombo dua longgok’.-UTUSAN.