Russia, Ukraine setuju gencatan senjata di Laut Hitam

Russia, Ukraine setuju gencatan senjata di Laut Hitam

PENUNJUK perasaan berhimpun di pusat bandar untuk menunjukkan sokongan kepada Ukraine di Chicago, Illinois, pada 2 Mac lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia dan Ukraine bersetuju untuk menghentikan serangan ketenteraan di Laut Hitam dan tapak tenaga semasa rundingan yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Sebagai insentif pertama kepada Moscow, Washington menawarkan kelonggaran ke atas eksport pertanian Russia.

Washington dalam kenyataan berkata, semua pihak akan terus berusaha ke arah perdamaian kekal, yang akan membuka semula laluan perdagangan penting.

Menurut Rumah Putih, mereka juga komited untuk mengambil langkah bagi menguatkuasakan larangan serangan terhadap infrastruktur tenaga masing-masing.

Namun, Russia menegaskan gencatan senjata tentera laut hanya akan berkuat kuasa selepas beberapa sekatan terhadap perdagangan makanan dan baja ditarik balik.

Ia juga menyatakan bahawa Russia dan AS bersetuju gencatan senjata tenaga selama 30 hari yang diumumkan Presiden Vladimir Putin minggu lalu, akan terpakai kepada saluran paip, stesen janakuasa dan kilang penapisan minyak.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan perjanjian itu, tetapi menganggapnya sebagai langkah yang betul.

Perunding AS mengadakan rundingan berasingan selama tiga hari di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, antara delegasi Ukraine dan Russia.

Sebagai langkah pertama AS dalam meredakan ketegangan dengan Russia, Rumah Putih mengumumkan bahawa ia akan membantu memulihkan akses ke pasaran global bagi eksport pertanian dan baja Russia.

Walaupun AS tidak pernah mengenakan sekatan langsung terhadap sektor pertanian Russia, negara itu mengehadkan akses Moscow kepada sistem pembayaran antarabangsa.

Isu berkenaan menjadi hujah utama Russia, yang menyalahkan polisi AS, bukan perang itu sendiri, sebagai penyebab kenaikan harga makanan global.– AFP/BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN