Rumah rakit Tasik Kenyir terbakar, pemilik rugi jutaan ringgit - Utusan Malaysia

Rumah rakit Tasik Kenyir terbakar, pemilik rugi jutaan ringgit

TANGKAP layar video yang tular memaparkan sebuah rumah rakit di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu musnah dijilat api.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang pemilik rumah rakit di Tasik Kenyir di sini kerugian jutaan ringgit setelah penginapan terapung diusahakannya sejak lapan tahun lalu itu musnah dalam kebakaran di sini, kelmarin.

Shaheezam Abu Hasan, 47, berkata, kejadian tersebut memusnahkan keseluruhan penginapan berkenaan selain tujuh unit jetski serta tiga bot terma­suk bot laju.

Katanya, semasa mendapat panggilan berhubung kebaka­ran berkenaan kira-kira pukul 10 malam, dia berada di Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan dan terus bergegas ke Tasik Kenyir.

“Saya tiba di tempat kejadian sekitar pukul 4 pagi semalam dan hanya mampu melihat apa yang diusahakan selama ini musnah sekelip mata. Kos membina rumah rakit sahaja sudah lebih RM3 juta.

“Empat pekerja tiada di rumah rakit sewaktu kejadian, masing-masing berada di rumah memandangkan semalam hari pertama Ramadan. Pekerja terakhir pulang kira-kira pukul 4 petang.

“Kebakaran disedari pemandu bot yang berada di Tasik Kenyir setelah melihat api mulai marak. Tiada apa apa yang dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Shaheezam, walaupun bersedih dia reda dan me­nganggap semua yang berlaku sebagai ujian di bulan Ramadan selain tetap bersyukur kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa pekerja atau pelancong.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Anuar Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 9.54 malam dan tujuh kekuatan anggota dengan menaiki dua jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran menga­kibatkan rumah rakit mempunyai 14 buah bilik itu musnah sepenuhnya dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN