Polis Kelantan lumpuh sindiket pengedaran air ketum di Machang

Polis Kelantan lumpuh sindiket pengedaran air ketum di Machang

AIR ketum yang berjaya dirampas selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di kandang ternakan lembu dekat Kampung Pangkal Mempelam, Machang, Kelantan semalam.-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Polis Kelantan melumpuhkan sindiket pengedaran air ketum di daerah ini selepas menyerbu sebuah kandang ternakan lembu di Kampung Pangkal Mempelam di sini semalam.

Kejayaan itu susulan penahanan empat lelaki yang berusia antara 24 hingga 54 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil pemeriksaan dilokasi pihaknya telah menjumpai 885 liter air ketum yang dianggarkan berjumlah RM26,640.

Menurutnya, saringan awal ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, semakan mendapati dua daripada empat suspek masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan suspek berkaitan dengan barangan kes yang dirampas,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai sudah aktif sejak enam bulan lalu.

Katanya, permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat hari ini di hadapan Majisteret Machang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi balai polis terdekat dalam usaha memerangi perkara ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN