PKKDN kesan syarikat cetak jalan perniagaan tanpa lesen

PKKDN kesan syarikat cetak jalan perniagaan tanpa lesen

ANGGOTA PKKDN Kelantan semasa menjalankan operasi dibawah Lesen Mesin Cetak di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PKKDN) Kelantan mengesan ada beberapa syarikat di negeri ini menjalankan perniagaan pencetakan tanpa Lesen Mesin Cetak.

Pengarahnya, Muhammad Hafizu Mohd. Bokhori berkata, kegagalan memiliki lesen tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“Berdasarkan pemantauan dan hasil operasi PKKDN, kita mengenal pasti terdapat syarikat yang menjalankan perniagaan pencetakan dan tidak memiliki Lesen Mesin Cetak.

“Jadi kami mohon kerjasama daripada syarikat-syarikat perniagaan pencetakan yang belum memiliki Lesen Mesin Cetak untuk segera memohon melalui Sistem BLESS 1.0 bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 301,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Hafizu memberitahu, setakat ini, sebanyak 86 pemegang Lesen Mesin Cetak berdaftar di negeri ini.

Katanya, PKKDN Kelantan komited menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan peraturan terhadap mesin cetak dan penerbitan dalam negara.

“Hal ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN