Perubatan alternatif perlu diperkasa - Utusan Malaysia

Perubatan alternatif perlu diperkasa

MOHD. Sharkar Shamsudin (kiri) ketika menerima kunjungan daripada wakil Persatuan Perubatan Integratif Islam Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perubatan alternatif perlu diperkasakan dan diiktiraf peranan pentingnya dalam meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat arus perdana seiring dengan perubatan moden.

Pengerusi Sekretariat Ekonomi Gig UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sambutan masyarakat begitu memberangsangkan terhadap perubatan alternatif sehingga tertubuhnya organisasi, persatuan dan pertubuhan perubatan yang menghimpunkan lebih 60,000 pengamalnya di seluruh negara pada ketika ini.

“Kehendak terhadap keperluannya meningkat mendadak sehinggakan wujud pelbagai jenis bentuk rawatan alternatif di Malaysia.

“Perkembangan kaedah rawatan ini turut memberi impak kepada penurunan masalah kesihatan dalam komuniti. Bagaimanapun sehingga kini, perubatan alternatif tidak begitu diperkasakan terutama dalam mengiktiraf pengamalnya.

“Pengamal perubatan Islam misalnya, golongan ini perlu berdaftar dengan pihak berwajib dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka boleh didenda dan juga dipenjarakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dikunjungi wakil Persatuan Perubatan Integratif Islam Malaysia diketuai Pengerusinya, Behzari Aman dan Timbalan Pengerusi, Mohamad Saifullah Yusoff.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pengamal perubatan alternatif termasuk perubatan Islam atau pos natal turut tergolong dalam kumpulan pekerja tidak formal dalam industri gig ekonomi.

“Selain e-hailing, p-hailing, pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik dan jurugambar, pengamal perubatan alternatif juga perlu diiktiraf dan diperjuangkan nasib serta sumbangan mereka.

“Jadi, profesion ini perlu turut diperkasakan, dilindungi mata pencarian dan kebajikan kerana mereka juga sebahagian daripada lebih 1.16 juta penggiat ekonomi gig di negara ini,” katanya.

Menurutnya, semua pihak terlibat perlu menjalinkan kerjasama untuk memperkasakan peranan perubatan alternatif sekali gus memastikan rakyat negara ini mendapat akses rawatan yang selamat dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN