Pengusaha ketupat kurangkan tempahan

Pengusaha ketupat kurangkan tempahan

SAHARUDIN Kamijan (tengah) bersama keluarga menyiapkan tempahan ketupat di rumahnya di Kampung Parit Serong, Sanglang, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pengusaha ketupat terpaksa mengurangkan tempahan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi ekoran masalah bekalan beras yang sukar diperoleh sejak kebelakangan ini.

Seorang pengusaha, Saharuddin Kamijan, 60, dan isterinya, Wan Yusmawati Bakar, 48, berkata, mereka sudah menerima tempahan mulai Jumaat lalu, namun jumlahnya terhad kepada 1,000 hingga 1,500 ketupat sahaja.

Katanya, kesukaran mendapatkan beras tempatan menyebabkannya tidak berani mengambil tempahan dalam jumlah besar seperti tahun sebelumnya yang mencecah 4,000 ketupat.

“Betul, beras tempatan kini mula ada di pasaran, tetapi hanya di pasar raya tertentu dan bekalannya pula terhad. Terpaksalah kami membeli beras import pada harga RM36 bagi 10 kilogram.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan dan rakan-rakan, kami cuba menyiapkan tempahan mereka menjelang Hari Raya,” katanya ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Parit Serong, Sanglang, di sini semalam.

Saharuddin berkata, dia masih mengekalkan harga ketu­pat rebus RM1.60 sebungkus seperti tahun lalu walaupun terpaksa berdepan kenaikan kos, terutama harga beras dan daun kelapa.

Seorang lagi pengusaha, Noryati Parman, 58, berkata, dia masih menjual ketupat rebus pada harga RM1.50 sebiji manakala kelongsong ketupat pula RM0.70 sebiji, dengan tempahan mula diterima ming­gu hadapan.

Katanya, dia turut menjual daun ketupat berharga RM13 bagi 100 helai sebelum ini, namun harga tahun ini masih belum ditentukan.

Menurut Noryati, harga jualan bergantung kepada bekalan daun ketupat yang dijangka diterima sebanyak 10,000 helai pada minggu akhir Ramadan daripada pekebun kelapa di Serkat.

“Setakat ini, harga jualan ketu­pat rebus kekal RM1.50 sebiji, begitu juga dengan kelongsong ketupat RM0.70 sebiji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN