PETALING JAYA: Penggubalan Akta Pendanaan Politik di Malaysia adalah satu langkah proaktif ke arah mempertingkat integriti dan keberkesanan sistem politik negara, menurut Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Pelaksanaan akta itu juga akan meletakkan Malaysia antara 180 buah negara dengan amalan terbaik antarabangsa dalam peraturan pendanaan politik.
Eksekutif Kanan, Advokasi dan Program IDEAS, Zuhdi Farhan berkata, ketelusan dalam sistem urus tadbir dan proses pilihan raya politik akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Beliau berkata, kewujudan Akta Pendanaan Politik juga mampu mempromosikan ketelusan dalam aktiviti pendanaan politik.
“Pada ketika ini, Malaysia masih kekurangan suatu undang-undang khusus yang mengawal selia sumbangan politik serta ketiadaan proses kawal selia juga akan membawa kepada sumbangan kewangan dan bukan kewangan yang tidak didedahkan kemudian mewujudkan potensi pengaruh tidak wajar berleluasa,” katanya dalam kenyataan.
Zuhdi berkata, kepercayaan itu amat penting untuk menggalakkan penyertaan aktif rakyat dan membentuk budaya politik yang berasaskan integriti.
Malah katanya, Akta Pendanaan akan menggalakkan parti politik untuk mengamalkan kaedah pengumpulan dana yang lebih mampan dan beretika.
“Hal ini dapat mengurangkan kos keseluruhan kempen politik dan menjadikan arena politik dapat dicapai oleh individu atau kumpulan yang terpinggir akibat kekangan kewangan bagi mewujudkan demokrasi telus.
“Selain itu, akta ini juga berhasrat untuk memperkenalkan mekanisme pembiayaan awam kurangkan kebergantungan kepada penderma persendirian untuk wujudkan persaingan parti secara adil,” katanya.
Menurut Zuhdi, risiko keputusan politik tidak seharusnya dipengaruhi oleh kepentingan individu atau penyumbang tertentu dan perlu memastikan keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.
“Ketelusan sebegini penting untuk memastikan kebertanggungjawaban dan mencegah amalan rasuah.
“Reformasi pendanaan politik yang menyeluruh akan menjadi asas penting untuk membina landskap politik yang lebih telus, adil, dan terangkum,” tambahnya. – UTUSAN










