KUANTAN: Seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Putra, sekitar pukul 10.43 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang pengguna jalan raya yang menemukan motosikal dinaiki mangsa dalam keadaan enjin masih hidup tanpa penunggang.
“Turut ditemukan bersama motosikal itu sebuah telefon bimbit dalam keadaan sedang berhubung secara panggilan video bersama seorang wanita dipercayai bekas teman wanita mangsa,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pukul 11.30 malam tadi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di lokasi bagi menyelaras operasi. Pasukan penyelamat juga menggerakkan bot untuk melakukan pencarian di sepanjang Sungai Kuantan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi SAR digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 10.48 malam tadi.
“Pasukan bomba melaksanakan pencarian menggunakan kaedah surface searching di sekitar tebing dan lokasi yang disyaki menjadi tempat mangsa terjatuh, dengan radius pencarian sejauh 500 meter,” katanya. – UTUSAN