PETALING JAYA: Kerajaan disaran meningkatkan kesedaran rakyat mengenai Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan semangat cintakan negara.
Ahli Parlimen UPKO-Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, langkah itu boleh diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan menerbitkan bahan bacaan percuma mengenai Perlembagaan negara dan mengedarkannya kepada semua peringkat bermula dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bawah seliaan kementerian.
Menurutnya, selain meningkatkan semangat cintakan negara, usaha itu juga diyakini mampu memberi kesedaran kepada rakyat mengenai hak-hak mereka yang dilindungi oleh Perlembagaan.
“Dengan itu, tidak timbul lagi persoalan tentang hak-hak tertentu termasuk dalam hal ehwal pindaan Perlembagaan seperti yang berlaku berulang kali di Dewan Rakyat.
“Rakyat perlu memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan amat penting dan boleh melindungi semua pihak di dalam negara.
“Seperti juga setiap Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan negara di Dewan yang mulia ini,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat. – UTUSAN











