SUNGAI GOLOK, THAILAND: Penduduk di sekitar bandar ini dikejutkan dengan insiden letupan bom dan berbalas tembakan yang meragut dua nyawa anggota berunifrom dalam tiga kejadian di lokasi berasingan malam tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 7 malam itu, dua anggota yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Sabri Naswan dan Paipim.
Difahamkan, insiden tersebut menyebabkan lapan lagi individu lain mengalami kecederaan.
Tiga lokasi itu ialah berhampiran pasaraya Big C, persimpangan lampu isyarat dan padang bola sepak berdekatan dengan Stadium Sungai Golok.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Soleh, 28, berkata, insiden letupan itu dapat didengari dengan jelas dari kawasan rumahnya.
“Rumah saya dengan lokasi kejadian sekitar 3 kilometer sahaja. Selain letupan, gegaran turut dirasai.
“Semasa kejadian saya sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat terawih,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Soleh memberitahu, insiden itu menyebabkan beberapa lokasi di kawasan pekan Golok ditutup kepada orang ramai.
Insiden itu turut mengejutkan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Rantau Panjang, Kelantan.-UTUSAN