MELAKA: Lapan aliran silat yang bertapak di Duyong akan dikumpulkan di Perkampungan Hang Tuah di sini, sebagai salah satu program berkala yang akan diperkenalkan bagi memastikan tempat bersejarah itu terus menjadi tarikan utama pelancong serta penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halim mengakui, pengisian yang kurang menarik di Perkampungan Hang Tuah menyebabkan pengunjung hanya datang sekali sahaja ke situ.
Ujarnya, oleh itu lokasi berkenaan bakal berwajah baharu dengan pelbagai pengisian menarik termasuk latihan pusat bagi persatuan silat, penganjuran sukan rakyat setiap Ahad dan penglibatan badan-badan kebudayaan.

“Kita mempunyai bangunan yang bernilai puluhan juta ringgit dan telah membelanjakan RM6 juta untuk kerja-kerja baik pulih dalam tempoh tiga tahun ini. Namun, pengisian yang kurang menyebabkan orang datang sekali sahaja, kemudian tidak kembali lagi.
“Setakat ini terdapat lapan aliran silat di Duyong yang menjalani latihan di lokasi masing-masing. Saya bercadang mengumpulkan semua persatuan ini di satu lokasi sebagai pusat latihan mingguan.
“Selain itu, persatuan silat dari luar DUN Duyong juga akan dijemput sebulan sekali bagi memperkukuhkan jaringan seni bela diri tradisional ini,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Hang Tuah.
Perkampungan Hang Tuah telah dibuka semula sejak Oktober tahun lalu selepas ditutup sementara untuk kerja-kerja naik taraf. Bagaimanapun, kehadiran pengunjung masih mendatar dan hanya meningkat apabila ada program dianjurkan.
Tambah Mohd. Noor Helmy, untuk menarik golongan muda, Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) sedang membangunkan permainan digital berasaskan platform Roblox yang membolehkan pengguna meneroka Perkampungan Hang Tuah secara maya.
“Projek ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Senator Datuk Mustafa Musa bersama pasukan multimedia mereka.
“Kita sedang melihat apa yang ada di Perkampungan Hang Tuah dan akan membangunkannya dalam Roblox sebagai sebahagian daripada promosi digital. Ini merupakan langkah inovatif untuk memperkenalkan sejarah Hang Tuah kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN










