KWSP tidak boleh dikeluar sewenang-wenangnya – PM

KWSP tidak boleh dikeluar sewenang-wenangnya – PM

ANWAR Ibrahim ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak bercadang untuk memberi kelonggaran pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum.

Perdana Menteri menjelaskan, sekiranya kelonggaran itu diberi, ia berisiko menjejaskan simpanan pencarum sendiri apabila mereka bersara kelak.

Jelasnya, prinsip KWSP adalah sebagai simpanan untuk hari tua dan tidak seharusnya mempunyai kelonggaran berlebihan.

“Malah, kebimbangan turut timbul kerana majoriti penca­rum Melayu mempunyai simpanan yang kecil dalam KWSP.

“Jika ruang pengeluaran di­buka terlalu luas, kita sebenar­nya menghukum mereka di hari tua,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai kemungkinan kerajaan mempertimbangkan pengeluaran bersasar KWSP bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu menyeimbangkan antara menyelesaikan masalah mendesak pencarum ketika ini atau membiarkan mereka berdepan kesulitan kewangan selepas bersara.

Menurut Anwar, KWSP sebelum ini pernah memberikan pengecualian dan kelonggaran dalam kes rayuan tertentu, khususnya bagi golongan yang benar-benar memerlukan.

“Jika ada kes spesifik seperti keuzuran, KWSP boleh mempertimbangkan permohonan pengeluaran walaupun tidak mengikut peraturan dan kaedah semasa,” tambahnya.

Sementara itu, Perdana Men­teri berkata, kerajaan tidak ber­cadang untuk mewajibkan pencarum beragama Islam me­nyertai simpanan syariah KWSP, sebaliknya menggalakkan penyertaan secara sukarela.

“Tiada dasar yang mewajibkan umat Islam mencarum dalam simpanan syariah. Namun, dengan rekod dividen simpanan syariah yang baik, kita berharap lebih ramai akan memilihnya.

“Umat Islam juga perlu diberikan penjelasan mengenai instrumen kewangan patuh syariah yang diperkenalkan da­lam sektor perbankan dan ke­wangan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN