KPDN Kelantan serbu premis simpan barangan kawalan tanpa kebenaran

KPDN Kelantan serbu premis simpan barangan kawalan tanpa kebenaran

SEBAHAGIAN barang kawalan yang dirampas selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita pelbagai jenis barangan kawalan seberat hampir lima tan selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4 petang itu, KPDN Kelantan turut menahan pemilik premis bagi membantu siasatan berkaitan rampasan lebih RM53,000 termasuk kenderaan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan barang kawalan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.

“Semasa serbuan itu, KPDN Kelantan menahan sebuah lori jenis Fuso selepas mendapati beberapa individu sedang memunggah barang kawalan ke dalam premis yang tidak berdaftar.

“Barangan kawalan itu sepatutnya dihantar berdasarkan penyata tempahan di Pasir Mas, namun dialihkan ke lokasi lain tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Azman memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, KPDN Kelantan akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak disalahgunakan dan sampai kepada pengguna yang berhak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN