KOTA BHARU: Stesen minyak dan klinik diberi kelonggaran untuk beroperasi pada 1 Syawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun kerajaan negeri menguatkuasakan larangan ke atas pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya berharap pemilik stesen minyak membuka premis mereka selepas umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Jika pemilik premis mahu beroperasi mereka perlu membayar elaun yang lebih kepada pekerja mereka.
“1 dan 2 Syawal ini merupakan cuti umum. Namun kita (kerajaan negeri) menetapkan 1 Syawal sahaja untuk semua premis perniagaan ditutup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, tindakan itu bagi membolehkan pekerja beragama Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.
“Setakat ini, hanya Majlis Daerah Gua Musang dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam yang mengeluarkan notis penutupan itu dan bukannya di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmi turut memberi respon kepada kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Pembaharuan Kehakiman), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim yang mengatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk menutup operasi premis perniagaan.
Menurutnya, beliau sudah membuat semakan dan mendapati PBT sebenarnya mempunyai punca kuasa di bawah Undang-Undang Kecil Tred Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian malah ia selaras bagi semua PBT.
“Undang-undang kecil tersebut menyebut majlis boleh mengarahkan aktiviti tred perniagaan atau perindustrian tidak dibenarkan dijalankan suatu tempat atau premis berlesen melainkan pada waktu ditetapkan oleh majlis.
“Itu adalah klausa kuasa PBT untuk menentukan waktu operasi bagi sesebuah perniagaan. Kita kuat kuasa hanya untuk empat jenis perniagaan dan pada hari raya pertama sahaja untuk meraikan pekerja Islam di bawah Akta Hari Pelepasan 1951 atau Akta 369,” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya diperdebatkan kerana semua keputusan yang dibuat adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, semua premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di Kelantan wajib menutup operasi pada 1 Syawal nanti.
Hilmi berkata, keputusan itu selaras dengan peraturan pihak berkuasa negeri mengenai penutupan operasi pada hari raya pertama bagi membolehkan pekerja yang beragama Islam menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, pemilik premis perniagaan boleh dikompaun sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan.-UTUSAN.