MARANG: Seorang peniaga di Bazar Ramadan Marang di sini menarik perhatian ramai apabila menjual batu nisan dan kepuk kubur kepada pengunjung yang datang membeli juadah berbuka puasa.
Che Mohamad Ibrahim Che Ghani, 45, berkata, walaupun kebanyakan peniaga di situ menawarkan makanan dan minuman, dia memilih untuk menampilkan kelainan dengan membawa dua unit kepuk kubur setiap hari serta memasang kain rentang yang memaparkan contoh reka bentuk lain bagi menarik perhatian pelanggan.
“Saya menjalankan perniagaan kepuk kubur di Kampung Rhu Muda sejak tiga tahun lalu, dan Ramadan kali ini, saya cuba berniaga di bazar sebagai strategi jualan baharu.
“Saya percaya dalam kalangan pengunjung yang datang membeli makanan, pasti ada yang sedang mencari kepuk kubur baharu untuk ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, meskipun tiada pelanggan yang membeli kepuk kubur secara langsung di bazar, strategi tersebut membuahkan hasil apabila nombor telefonnya diambil oleh ramai pengunjung yang berminat.
Setakat ini, katanya, dia telah menerima lebih 30 tempahan ketika ada yang memandang sinis dan beranggapan barangan tersebut tidak sesuai dijual di bazar Ramadan.
Selain menjalankan perniagaan kepuk kubur, Che Mohamad Ibrahim juga mengusahakan sebuah kedai makan di Rhu Muda sejak 10 tahun lalu.-UTUSAN.