Harga lemang naik? - Utusan Malaysia

Harga lemang naik?

MOHD Kamal Abdullah sedang membakar lemang di tapak jualannya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pengusaha lemang menjangkakan harga jualan makanan itu tahun ini meningkat susulan kenaikan kos bahan mentah utama seperti buluh, santan dan beras pulut selain faktor upah pekerja yang semakin tinggi.

Pemilik Lemang Pokok Buluh, Mohd. Kamal Abdullah berkata, kenaikan harga buluh memberi impak ketara kepada kos keseluruhan pengeluaran lemang sekali gus mempengaruhi harga jualan kepada pelanggan.

“Tahun lalu, harga buluh sekitar RM1.50 hingga RM1.60 sebatang, tetapi kini meningkat kepada RM1.80. Walaupun nampak kecil, kenaikan ini memberikan kesan besar kepada peniaga seperti kami yang menggunakan buluh dalam jumlah banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, selain buluh, harga santan dan beras pulut juga menunjukkan trend peningkatan.

“Walaupun jumlah kenaikan sebenar masih belum dapat dipastikan, anggaran awal menunjukkan lonjakan sekitar 20 peratus berbanding tahun lalu. Berdasarkan pemerhatian, harga santan telah naik dan beras pulut dijangka turut mengalami kenaikan.

“Ini semua memberi kesan kepada kos pengeluaran lemang, menyebabkan harga jualan perlu disesuaikan,” katanya.

Oleh itu, katanya, harga lemang tahun ini dijangka bermula dari RM16 hingga RM17 bagi saiz kecil manakala saiz besar boleh mencecah RM28 berbanding RM15 hingga RM26 tahun lalu.

“Kenaikan ini sekitar RM1 hingga RM2 sebatang, tetapi kami cuba pastikan ia tidak membebankan pelanggan. Selain lemang pulut tradisional, kami juga menawarkan variasi lain seperti lemang jagung dan lemang keju yang semakin mendapat sambutan,” jelasnya.

Selain lemang, dia turut menjual rendang daging dan ayam pada harga RM15 bagi setiap 250 hingga 280 gram, tetapi mengakui kuantitinya mungkin sedikit berkurang berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Menurutnya, perniagaan lemangnya akan bermula dua hari sebelum Aidilfitri sehingga 30 Syawal, bertempat di hadapan Masjid Ridwaniah, Sungai Batu, Teluk Kumbar.

“Kami komited menyediakan lemang berkualiti dengan harga berpatutan. Walaupun kos meningkat, kami tetap mengutamakan kepuasan pelanggan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya