BESUT: Gagal mendapat kerja mengikut kelulusan menjadi permulaan buat seorang graduan membina kerjaya sendiri dengan menjual ‘puding bajet’.
Auni Balqis Adenan, 25, yang menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) November tahun lalu bertekad berniaga bagi mencari sumber pendapatan sampingan sebelum mendapatkan pekerjaan tetap.
“Saya belajar membuat puding pelbagai perisa daripada media sosial dan setelah beberapa kali percubaan, saya mula menjualnya sejak Januari lalu.
“Alhamdulillah, puding ini mendapat permintaan meskipun saya masih baru dalam perniagaan ini dan harga yang ditawarkan juga adalah serendah RM1 bagi satu bekas puding,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Koperat Putera, di sini.
Auni Balqis berkata, setakat ini dia mampu menjual lebih 2,000 bekas puding untuk tempahan pelbagai majlis.
Menurutnya, dia turut mengambil tempahan infak iaitu puding berkenaan diagihkan ke surau atau masjid seperti diminta pelanggan.
Katanya, meskipun dia bercita-cita mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang diminati dan mengikut kelulusan pendidikannya, perniagaan itu tetap diteruskan dan ingin dikembangkan.
“Setakat saya hanya menerima tempahan di sekitar daerah ini tetapi ingin memperluaskannya dan mempunyai ejen sendiri,” katanya. – UTUSAN










