EDAAS inovasi sistem akuaponik - Utusan Malaysia

EDAAS inovasi sistem akuaponik

MUHAMMAD Yusof menunjukkan inovasi sistem akuaponik yang dinamakan EDAAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula daripada hobi, dua orang penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah memulakan projek penyelidikan mereka mengenai sistem akuaponik yang diinovasikan untuk pengurusan sisa pepejal ikan dan rawatan air.

Inovator bimbingan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu, Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi dan Prof. Madya Dr. Muhammad Yusof berjaya menginovasikan sistem akuaponik itu kepada sistem yang dinamakan Ezee DIY Aquaponic Automation System© (EDAAS).

Akuaponik ialah sistem gabungan akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah) mesra alam dalam satu ekosistem yang saling bergantung serta menjimatkan air.

Ikan menghasilkan sisa buangan yang mengandungi nutrien untuk tumbuhan manakala tumbuhan membantu membersihkan air untuk ikan.

Menurut Mohamad Farizal, EDAAS dapat menambah baik sistem akuaponik melalui penggunaan sistem pengangkat udara (airlift) dan juga tangki pengurusan sisa pepejal ikan dan rawatan air.

“Sistem pengangkat udara dalam akuaponik ialah kaedah mengepam air menggunakan tekanan udara dan bukannya dengan menggunakan pam air elektrik.

“Ia berfungsi dengan menyuntik udara termampat ke dalam paip menegak yang tenggelam dalam air sekali gus mewujudkan gelembung udara yang menolak air ke atas melalui paip.

“Sistem ini bukan sahaja cekap tenaga, malah ia dapat meningkatkan tahap oksigen terlarut dalam tangki untuk ikan dan tumbuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam sistem akuaponik, katanya, ikan menghasilkan sisa pepejal yang boleh menyumbat tiub hidroponik, menurunkan kualiti air dan menghasilkan paras ammonia yang berbahaya jika tidak diurus dengan betul.

Oleh itu, melalui tangki rawatan, ia berfungsi membantu mengeluarkan dan memproses bahan buangan ini bagi memastikan sistem tidak tercemar dan baik untuk ikan dan tumbuhan.

Dalam tangki rawatan air, jelasnya, bakteria dan mikroorganisma menguraikan sisa pepejal kepada nutrien larut, seperti nitrat, fosfat dan kalium yang boleh diserap oleh tumbuhan.

Proses ini dipanggil mineralization yang mengitar semula nutrien dan bukan membuangnya. Tanpa tangki rawatan, sisa penguraian dari tangki ikan boleh menyebabkan pengumpulan ammonia toksik yang berbahaya kepada ikan.

“Tangki rawatan ini membantu menukar ammonia kepada nitrat, yang digunakan oleh tumbuhan sebagai makanan,” katanya.

“EDAAS telah mengasingkan tangki rawatan dan pengurusan sistem pepejal bagi membolehkan penyelenggaraan sistem akuaponik dengan lebih mudah.

“Tangki sisa pepejal membolehkan pepejal berat sepertI tinja ikan dan sisa makanan yang tidak dimakan untuk mendap di bahagian bawah tangki ikan,” katanya.

Berdasarkan potensi produk inovasi tersebut, penyelidik ini mendapat bantuan dana menerusi Program Malaysia Inovasi Sosial Akar Umbi (MyIS Akar Umbi/MaGRIs) sebanyak RM71,000 pada tahun 2022 yang mampu membantu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti selain mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan import.

Beliau berkata, EDAAS mula dibangunkan pada 2021 dengan geran permulaan daripada UUM sebanyak RM10,000 yang mana sistem ini tidak menggunakan kaedah mekanikal yang sering terdedah kepada kegagalan sistem mekanikal itu sendiri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN