KANGAR: Di usia 17 tahun, Amier Azrulz Addey Mohd Tajuddin yang sebelum ini aktif dalam sukan dan pembelajaran terpaksa menanggung dugaan berat selepas disahkan mengidap kanser tulang rahang tahap empat sejak tahun lalu.
Penderitaan itu bagaimanapun, tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertahan meneruskan kehidupan seperti insan-insan lain.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi itu juga berharap dia mampu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Amier Azrulz disahkan mengidap kanser apabila mengalami bengkak gusi secara tiba-tiba sekitar November tahun lalu dan bengkak itu tidak pernah surut.
Keadaan itu, mendorong ibunya Noranisha Idayu Sahidan, 35, dan bapanya, Mohd. Tajuddin Mat Safar, 39, membawanya berjumpa doktor gigi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini bagi mendapatkan rawatan.
Noranisha berkata, hasil diagnosis mengesahkan anak sulung dari tiga beradik itu menghidap kanser tulang rahang yang menyebabkan sebelah pipi kanannya semakin membesar sehingga saiz bola tenis.
“Pada permulaan diagnosis, Amier disahkan mengidap kanser tulang rahang tahap satu dan doktor maklumkan penyakit itu agak agresif namun tidak merebak ke organ lain seperti paru-paru, buah pinggang serta pernafasan.
“Hanya dalam tiga bulan sahaja kanser itu cepat menyerang dan penyakit Amier kini berada pada tahap empat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Telok, Jalan Kuala Perlis-Changlun, di sini, semalam.
Noranisha berkata, dia hanya bekerja sebagai penjual mempelam harumanis dan suaminya pula sebagai pemandu lori.
Katanya, oleh itu orang ramai yang ingin membantu dan memberikan sumbangan boleh menghubunginya di nombor 017-4476347.-UTUSAN.